Ahad, 4 Januari 2009

OIC perlukan pasukan misi pengaman - Zahid

04/01/2009 4:30pm

KUALA LUMPUR 4 Jan. — Sekarang merupakan masa yang sesuai bagi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menubuhkan pasukan misi pengaman untuk dihantar ke negara-negara Islam yang mengalami pergolakan seperti Palestin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Beliau berkata selain daripada turut serta dalam tindakan memboikot produk Israel dan Amerika Syarikat (AS) seperti dicadangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, masyarakat Islam dunia juga perlu bergabung tenaga untuk menubuhkan pasukan misi pengaman.
“Kita perlu menggunakan premis sedia ada, iaitu OIC. Kita perlu lakukan sesuatu yang lebih konkrit sebagai sebuah pertubuhan. Bukan semua negara anggota OIC akan bersetuju dengan cadangan ini tetapi jika ada majoriti, dengan itu kenapa tidak?” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Ade Nasution di sini.
Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB tidak memainkan peranan efektif dalam menangani konflik Israel-Palestin, yang telah mengakibatkan beribu-ribu orang awam terbunuh.
Katanya pasukan misi pengaman OIC juga boleh bekerjasama dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menguatkuasakan perdamaian di negara yang bergolak, jika perlu.“Cadangan ini wajar dikaji. Ia terlebih dahulu perlu diterima oleh ketua-ketua negara OIC. Wujud keperluan segera bagi OIC mengadakan sidang kemuncak khas bagi tujuan itu,” katanya.
Dr Zahid berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim pada mesyuarat Kabinet akan datang pada Rabu kerana
“beliau boleh mengemukakannya pada mana-mana forum OIC yang dihadirinya,”.
Pusat Ade Nasution ditubuhkan pada 19 Nov tahun lepas sebagai usaha menarik kira-kira 950,000 pemilih berdaftar warga Indonesia yang bekerja di negara ini untuk menjalankan hak demokrasi mereka dalam pilihan raya Indonesia yang dijadualkan pada 9 April tahun ini.
Pusat itu diilhamkan oleh Ade Nasution, ahli politik Indonesia yang akan bertanding dalam pilihan raya itu di bawah tiket Parti Amanat Nasional (Indonesia).
“Saya ingin menjelaskan bahawa perasmian pusat ini oleh saya bukan bertujuan campur tangan dalam hal ehwal politik Indonesia tetapi sebagai tanda persahabatan saya dengan Ade yang telah terjalin lebih 20 tahun,” kata Dr Ahmad Zahid.
Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Zahid, yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama Islam di Jabatan Perdana Menteri berkata Tabung Haji sedang menimbangkan untuk membeli tanah seluas 140,000 hektar di Kalimantan, Indonesia, untuk diusahakan dengan tanaman sawit.
“Tabung Haji memiliki kira-kira 60,000 hektar ladang sawit di Riau. Secara keseluruhannya, Tabung Haji memiliki kira-kira 200,000 hektar ladang sawit di Indonesia.
“Walaupun harga sawit di pasaran kini adalah rendah, kami telah menjalin perjanjian dengan beberapa negara dan ini menjamin harga tetap bagi komoditi itu,” katanya.
— BERNAMA

Tiada ulasan: