Ahad, 21 Disember 2008

Betulkah Mat Sabu kalah kerana faktor 'orang luar'?

Bahang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu semakin terasa. Meski pun penamaan calon hanya akan dilakukan pada 6 Januari depan, cakap-cakap mengenai siapa yang bakal dipilih mewakili parti-parti dalam pilihan raya itu telah bermula sebaik penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail meninggal, akhir November.
Iklan

Teka-teki itu terjawab di sebelah pihak petang semalam (Sabtu). Barisan Nasional telah mempertaruhkan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk dipilih pengundi pada 17 Januari nanti.
Di pihak lawannya, sudah ada kesepakatan di kalangan Pakatan Rakyat untuk menyerahkan kerusi itu kepada PAS. Nama calonnya bagaimana pun masih belum diputuskan.
Cuma yang hampir pasti, laluan untuk Mohamad Sabu (Mat Sabu), bekas calon pada pilihan raya umum, Mac lalu, sudah hampir tertutup. Kedengaran suara-suara sangat lantang di kalangan pendokong dan jentera PAS di Terengganu sendiri kononnya Naib Presiden PAS itu tidak dapat diterima pengundi.
Alasan utama diberikan ialah kerana Mat Sabu 'orang luar'. Maka, di atas sangkaan dan dakwaan untuk memenuhi selera pengundi yang mahukan anak tempatan, pihak dalaman PAS sendiri menuntut agar seorang anak tempatan dipilih sebagai calon kali ini.
Penulis merasa terpanggil mengulas kesimpulan itu. Apatah lagi satu analisa turut disiarkan sebuah tabloid mingguan, hari ini (Ahad, 21 Disember) bagi memperkuatkan kesimpulan tadi.
Bagi penulis, menyimpulkan kekalahan Mat Sabu semata-mata atas faktor dia 'orang luar' adalah satu penilaian sangat simplistik dan agak gopoh. Bahkan, ia satu ketidak adilan terhadap tokoh yang dianggap 'ayam sabung' PAS itu.
Begini saja lah! Apa kata kita teliti semula perangkaan keputusan pilihan raya kawasan itu Mac lalu dan kita bandingkan dengan apa yang berlaku di situ pada 2004 dulu, boleh?
Mac lalu, Mat Sabu mendapat 31,934 undi berbanding Razali 32,562. Majoriti kemenangan calon BN ialah 628 undi. Seorang calon Bebas, Maimun Yusof (Tok Mun) mendapat 685 undi.
Sebagai perbandingan, pelbagai pihak mengemukakan perangkaan undi diperolehi kedua-di pihak di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun). Jumlah diperolehi PAS di keempat-empat Dun (termasuk Dun Bandar ditandingi KeADILan) ialah 33,279 undi.Undi BN pula 31,486.
Beza undi kemenangan PAS atas BN ialah 2,243. Angka itu jika ditolak undi nenek tua tadi, masih ada 1,558. Mereka pun kata, jika tidak kerana Mat Sabu 'orang luar' dia sepatutnya telah menang dengan majoriti 1,558 undi!
Nanti dulu saudara! Jangan mudah buat kesimpulan. Kita analisa lebih terperinci sikit.
Undi dipungut Mat Sabu berbanding empat calon Dun merosot 1,795 undi. Kita namakan mereka undi lari. Betul, Mat Sabu tidak sepopular calon-calon Dun.
Tapi tidak kesemua undi lari itu pergi kepada Razali. Beza undinya dengan calon-calon BN di empat Dun ialah 1,076 undi lebih banyak.
Ertinya ada 719 undi lari yang tidak juga mengundi BN. Kita simpulkan 685 daripadanya pergi kepada Tok Mun dan 34 undi lagi tidak mengundi mana-mana calon.
Soalnya, apakah undi 685 kepada Tok Mun itu semata-mata kerana tidak berkenaan kepada Mat Sabu? Apakah tidak mungkin ia kerana simpati kepada nenek itu?
Penulis menyimpulkan bahawa faktor simpati terhadap calon Bebas itu juga satu kemungkinan kekalahan PAS. Bayangkan andaikata 685 undi itu tidak bersimpati kepadanya dan mengundi Mat Sabu, apakah BN masih menang?
Itu satu. Ertinya, kekalahan Mat Sabu bukan semata-mata kerana dia 'orang luar'.
Yang kedua, kita teliti pula undi di kawsan sama pada 2004 lalu. BN diwakili Razali, manakala PAS mempertaruhkan Dr Syed Azman Syed Nawawi. Dia bukan sahaja ada kelulusan akademik tinggi, AJK PAS Pusat, bekas Ahli parlimen 1999, tetapi paling penting (dalam konteks penghujahan ini) ialah beliau anak tempatan Kuala Terengganu.
Semua kita tahu beliau kalah dengan majoriti 1,933 undi kepada Razali. Itu tidak mengejutkan sebab kawasan-kawasan lain pun PAS kalah teruk ketika itu, hingga hilang kerajaan negeri.
Apa yang perlu diteliti, kekalahannya dengan hampir 2,000 undi itu juga tidak sepatutnya berlaku. Jika dijumlahkan undi-undi peringkat Dun, PAS mendapat 29,750 undi berbanding BN dengan 30,375 undi. Beza undi majoriti hanya 625 undi yang memihak kepada BN.
Syed Azman mendapat 29,061 undi, iaitu 689 undi kurang daripara calon-calon PAS di empat Dun. Sekali lagi kita istilahkan 689 itu undi lari. Jika tidak kerana undi itu, Syed Azman sepatutnya kalah hanya 625 undi, bukannya 1,933 undi. Berbeza bukan?
Maka kesimpulan penulis yang kedua, kalau dikatakan undi lari dalam kes Mat Sabu ialah kerana dia 'orang luar', bukankah fenomena serupa telah dialami Syed Azman yang merupakan anak tempatan?
Untuk kesimpulan ketiga, kita teliti lagi keputusan 2004 itu. Razali mendapat 30,994 undi, iaitu penambahan 619 undi lebih daripada empat calon BN di Dun. Ada 70 undi lari dari PAS yang tidak mengundi mana-mana calon.
Dalam ertikata lain, faktor peribadi calon BN itu turut memainkan peranan. Kita boleh simpulkan bahawa Razali telah mendapat undi peribadi sebanyak 619 undi.
Kita andaikan jumlah itu kekal pada 2008. Bermakna 1,076 undi peribadi diperolehinya Mac lalu hanya melibatkan 457 undi tambahan. Apa peliknya tambahan sebanyak itu kerana jumlah keluar mengundi di kawasan itu meningkat 5,267 orang berbanding 2004 lalu.
Sepertimana disebutkan, besar kemungkinan Mat Sabu tidak akan dipilih semula. Kalau penulis sendiri berada di tempat beliau pun, penulis tidak akan menerima tawaran bertanding semula, setelah diberi tanggapan sebegitu negatif.
Namun, itu bukan persoalan yang nak diperbahaskan di sini. Analisa semula oleh penulis ini hanyalah untuk mengajak kita lebih teliti dalam mengamati sesuatu perkara sebelum mengambil sebarang kesimpulan.
Berdasarkan analisa ringkas tadi, penulis sekali lagi menyangkal dakwaan kekalahan Mat Sabu tempohari semata-mata kerana dia 'orang luar'. Maaf cakap, bagi penulis kesimpulan itu adalah satu kedangkalan, menggambarkan kerja gopoh dan minda simplistik pihak terbabit.
Ia juga seolah-olah mengesahkan bahawa orang Terengganu sangat tebal sentimen kenegeriannya. Sedangkan hakikatnya tidak begitu, sebab penulis juga orang Terengganu.
Paling utama, dakwaan tadi satu ketidak adilan yang sangat dikesali terhadap fakta sebenar, lebih-lebih lagi terhadap Mat Sabu sendiri. - mks._

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Analisis sdr sangat menarik perhatian saya. Spt sdr, saya juga tidak percaya orang luar adalah faktor tunggal kekalahan Mat Sabu. Pasti kekalahan dlm PAS dlm PRU lalu hasil gabungan banyak faktor. Namun faktor orang luar tidak boleh ditolak secara total khususnya kepada sebilangan pengundi yg bilangannya terlalu kecil - iaitu pengundi atas pagar yg tenggelam punca!

Dlm konteks PRK K.Terengganu ini, kita perlu memberi perhatian bahawa lazimnya dlm PRK advantage adalah dipihak BN. Mereka pasti menggunakan faktor 3 M (machinery, media,money) utk memenangkan parti itu. Cuma kerja keras PAS dan komponen PR serta ketentuan Illahi yg boleh menafikan kebenaran teori 3 M ini.

anak rantau99 berkata...

BN bukan lah kuat sangat tetapi faktor pecahan undi yang membuatkan mat sabu kalah...cuba pehati elok2..

p/s :nak bagi elok jer