28 December 2008
Oleh Nur Fadzmin Aliasbhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Pembabitan umat Islam pada majlis tertentu yang ada kaitan dengan agama lain bukan saja boleh menimbulkan syak wasangka malah melambangkan rasa tidak hormat dan ketidakfahaman penganutnya terhadap ajaran Islam yang sebenar.Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria, berkata perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia sudah jelas bertentangan dengan akidah dan haram hukumnya.“Tiada sebarang fatwa perlu dikeluarkan kerana ia sudah jelas bercanggah dengan agama,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan seorang pembaca melalui ruangan Surat & E-mel akhbar ini berhubung seorang gadis Islam bertudung menyertai koir sebuah perayaan agama.“Umat Islam perlu mempunyai pegangan agama yang kuat dan tidak sewenang-wenang mengikuti persembahan yang tiada kaitan dengan agama kita.“Lebih baik kita faham hukum dengan betul untuk mengelak salah faham. Cukuplah sekadar berziarah untuk mengeratkan hubungan dan mengelak jika ragu-ragu dengan perkara yang kita tidak pasti hukumnya,” katanya.Pendakwah, Hassan Mahmud Al-Hafiz, berkata umat Islam sepatutnya peka dengan sebarang acara membabitkan agama lain yang ingin mereka sertai kerana ia akan menjejaskan akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama.“Mungkin sesetengah pihak menganggap pembabitan dalam persembahan agama lain adalah sekadar muzik atau nyanyian semata-mata tapi sebagai umat Islam yang prihatin kita perlu memastikan pengisiannya bimbang jika ia boleh menggugat akidah.Sementara itu, Pensyarah muzik di Fakulti Seni dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga komposer, Azam Sulong (Azam Dungun), berkata tiada sekatan untuk menyertai mana-mana persembahan muzik di negara ini bagaimanapun sebagai umat Islam seseorang itu perlu bijak membezakan sama ada sesebuah persembahan itu bertentangan dengan akidah atau tidak.“Pemuzik beragama Islam perlu prihatin terhadap persembahan yang mereka ikuti kerana ia sebenarnya boleh menjejaskan akidah jika ia mengandungi unsur agama atau pemujaan dalam lirik lagu.“Mungkin jika hanya membabitkan pancaragam atau muzik ia masih boleh diterima tapi adalah lebih baik kita mengelak untuk menjaga sensitiviti budaya dan agama Islam kerana ia boleh menimbulkan kontroversi.“Jadi pemuzik sepatutnya memahami pengisian lagu, lirik dan tujuan majlis supaya tidak berlaku pertikaian di kalangan orang ramai mengenai ketetapan akidah mereka,” katanya.
1 ulasan:
Bukan semua yg bertudung itu memahami Islam. Lihatlah antara waktu maghrib dan isyak ramai wanita bertuduh di pusat beli belah. Mungkin solat, mungkin tidak. Spt kata mufti Perak, perkara-perkara yg berkaitan dgn akidah Islam tidak perlu difatwakan, ia sudah jelas. Sama juga seperti hudud, tidak perli fatwa hudud itu wajib dilaksanakan, namun ahli-ahli politik yang berlagak bijak itu masih buat-buat tak faham, mereka masih nak mencari 'political mileage' dalam hukum agama pun.
Catat Ulasan