KOTA KINABALU - Habuan paling lumayan dalam sejarah badminton dunia menggamit tiga wakil negara apabila Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melangkah ke final Siri Super Masters Akhir di Stadium Tertutup Likas, semalam.
Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong mempamer permainan paling mantap untuk menjadi calon utama menggondol kejuaraan lumayan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM1.81 juta).
Pei Tty-Eei Hui pula bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk menundukkan pasangan Korea Selatan, Ha Jung Eun-Kim Min Jung 14-21, 21-19, 21-17.
Chong Wei menjadi pilihan hangat untuk membawa pulang AS$40,000 (RM144,800) selaku juara perseorangan lelaki selepas hanya memerlukan 25 minit untuk menang 21-5, 21-10 atas juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia.
Peluang jaguh nombor satu dunia itu tambah cerah kerana tidak perlu berdepan Sony Dwi Kuncoro, sebaliknya akan menentang Peter Hoeg Gade, pemain yang dikalahkannya dalam enam pertemuan mereka, termasuk di peringkat kumpulan, Khamis lalu.
Semalam, Gade mengejutkan naib juara dunia dan pemenang tiga kejuaraan Siri Super, Sony 21-10, 21-10 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
"Saya sudah dapat mengembalikan kecergasan seperti ketika beraksi pada Olimpik lepas. Kalau bermain dua atau tiga set pun saya bersedia.
"Lagi pun semangat saya untuk menang semakin bertambah apabila mendapat panggilan Datin Seri Rosmah Mansur yang mahu saya berjuang bersungguh-sungguh,'' kata Chong Wei.
Dalam beregu lelaki, Kien Keat-Boon Heong kembali mempamer permainan terbaik mereka selepas menyingkirkan rakan senegara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif 22-20, 21-14.
Kemenangan ini meneruskan rekod tanpa kalah bekas pasangan nombor satu dunia itu di Kota Kinabalu selepas turut menumbangkan juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan, bekas juara Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan dan beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen di peringkat kumpulan.
Selepas mengharungi tahun yang mengecewakan, Kien Keat-Boon Heong berpeluang menutup tirai 2008 dengan menggondol AS$42,000 (RM152,040) jika menundukkan juara Seluruh England, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan, hari ini.
Jae Sung-Yong Dae, beregu nombor dua dunia mara selepas menumbangkan Markis-Hendra 22-20, 15-21, 21-16.
Dalam saingan beregu wanita, Pei Tty-Eei Hui melangkah ke perlawanan akhir buat kali keenam tahun ini untuk menempah pertemuan dengan beregu Indonesia, Vita Marissa-Liliyana Natsir.
Walaupun tumpas tiga daripada empat pertemuan mereka, namun pasangan nombor dua dunia itu mengalahkan Vita-Liliyana pada perlawanan terakhir di Terbuka Jepun, September lalu.
Seperti beregu lelaki, kejuaraan beregu wanita turut menawarkan RM152,040 kepada pemenang - hadiah kemenangan paling tinggi pernah dinikmati oleh Pei Tty dan Eei Hui jika muncul juara hari ini.
Sementara itu, Hong Kong sudah mengesahkan satu kejuaraan apabila dua pemain handalannya, jaguh nombor satu dunia - Zhou Mi bertemu Wang Chen dalam saingan akhir perseorangan wanita.
Kejuaraan beregu campuran pula menjadi perebutan di antara pasangan Denmark, Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl dan beregu nombor satu dunia, Nova Widianto-Liliyana Natsir dari Indonesia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan