Isnin, 5 Januari 2009

'Psikologi pemain tak terjejas'

ALOR STAR - Ketua jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah yakin psikologi anak buahnya tidak terjejas dengan kekalahan besar 1-4 kepada Selangor dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2009 kelmarin, lapor SHARIZA ABDULLAH.Meskipun kekalahan dalam perlawanan Sumbangsih itu seolah-olah membenarkan tanggapan sesetengah pihak bahawa kekuatan Sang Kenari sebelum ini bersandarkan sepenuhnya kepada pemain import, namun dia percaya anak buahnya tidak akan terpengaruh dengan andaian seumpama itu.Menurutnya, pemain Kedah mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri serta mampu mempamerkan persembahan bertenaga tanpa kehadiran pemain import dalam usahanya mempertahankan tiga kejuaraan yang dirangkul sejak dua musim lalu."Itu semua andaian orang semata-mata. Saya percaya psikologi pemain saya tidak akan terjejas ekoran kekalahan itu."Dalam perlawanan semalam (kelmarin) pun kita masih mampu beraksi baik walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain dalam tempoh kira-kira 40 minit," katanya.Dalam perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2009 yang juga merupakan perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Aman malam kelmarin, Kedah dibelasah pasukan Selangor 1-4, sekali gus meranapkan impian juara treble berganda itu untuk merangkul trofi ketujuh dalam dua musim.Mohd. Azraai berkata, masih terlalu awal untuk membuat andaian mengenai kekuatan mana-mana pasukan pada musim ini dan dia memandang kekalahan tersebut sebagai satu perkara positif untuk memperbaiki persembahan Hijau Kuning dalam perlawanan akan datang.Malah menurutnya, tahun lalu juga, persembahan pasukan Kedah pada awal musim kurang memberangsangkan tetapi mampu bangkit sekali gus merangkul trofi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.Dalam pada itu, mengulas mengenai aksi buruk Helmi Eliza Elias yang melepaskan gol mudah sehingga dilihat menjadi punca kekalahan Sang Kenari kepada Selangor, Mohd. Azraai berpendapat penjaga gol kebangsaan itu masih dihantui 'badi' persembahan buruk pada kejohanan Piala AFF baru-baru ini.Justeru, katanya, peluang kini terbuka kepada penjaga gol simpanan skuad Hijau Kuning untuk merebut posisi utama apabila Helmi mungkin direhatkan buat sementara waktu bagi memberinya masa memulihkan persembahan dan keyakinan diri.Sementara itu, jurulatih Selangor, K. Devan berkata, gol awal yang diperoleh pasukannya ketika menentang Kedah telah memberi semangat kepada pemain-pemain Gergasi Merah untuk memberikan aksi bertenaga sepanjang perlawanan.

Tiada ulasan: